Thursday 18 July 2013

Laporan Razak 1956 : Untuk tatapan untuk rujukan..lai lai





Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra

MPW 1113
BAHASA KEBANGSAAN

Jabatan Dakwah
[Sijil Pengajian Islam]

Tajuk:
LAPORAN RAZAK

Nor Amalina Binti Mazlan
(12100240)

Pensyarah:
Puan Rosnani Binti Ripin

Sesi Jun 2013/2014





PENGHARGAAN


Syukur saya ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menyiapkan        tugasan Kerja Kursus Bahasa Kebangsaan pada kali ini yang bertajuk Laporan Razak. Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pensyarah mata pelajaran Bahasa Kebangsaan saya iaitu Puan Rosnani Binti Ripin kerana telah membantu saya dalam penyediaan kerja kursus ini. Hasil tunjuk ajar beliau sepanjang penyediaan kerja kursus ini merupakan hasil komitmen yang jitu daripada beliau.

Di samping itu, jutaan terima kasih juga ditujukan kepada seluruh ahli keluarga terutamanya ibu saya, Puan Ramlah Binti Ali yang begitu banyak memberi sokongan moral serta bantuan dari segi kewangan dalam usaha menyudahkan kerja kursus ini.

Tidak lupa juga, terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan saya iaitu Marzuqah Binti Zakaria, Amani Najyhah Binti Che Anuar, Najihah Zuriati Binti Azhar dan ramai lagi kerana turut sama menyumbang tenaga dan masa kepada saya dalam proses melaksanakan kerja kursus ini. 

Akhir sekali, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pelaksanaan kerja kursus ini.

Sekian terima kasih.






  
OBJEKTIF

Kajian ini secara terperinci, ingin mencapai objektif berikut:

  • Dapat mengetahui sejarah pembentukan sistem pendidikan di Malaysia yang ada pada hari ini.

  • ·         Dapat mengenali tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk menggubal satu sistem pendidikan bersepadu demi negara tercinta secara lebih mendalam serta sumbangan mereka.
  • ·         Dapat memberi kesedaran dan pengajaran tentang peri pentingnya pendidikan sehingga orang-orang terdahulu begitu bertungkus-lumus dalam mewujudkan sistem pendidikan untuk memberi keselesaan kepada kita pada hari ini.
  • Dapat mengambil iktibar daripada peristiwa bersejarah dan perjuangan tokoh yang dikaji. 
  • Untuk membuat atau memikirkan cadangan penambahbaikan terhadap sistem yang telah dibuat. 



SENARAI KANDUNGAN

Bil.
Tajuk
Muka surat
1
Penghargaan
i
2
Objektif
ii
3
Pengenalan/Latar belakang
1
4

1.1  Sejarah Sistem Pendidikan Negara
1.1.1        Zaman pramerdeka (sebelum 1957)
1.1.2        Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
1.1.3        Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
1.1.4        Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
1.1.5        Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang)


2
2-4
4-5
5-6
6
6-7
5

1.2  Perkembangan Pendidikan di Malaysia
1.2.1        Sejarah awal Pendidikan di Tanah Melayu
1.2.2        Pendidikan Sewaktu Penjajahan Inggeris
(tahun 1800 hingga 1956)
1.2.3        Pendidikan Sebelum Merdeka
(tahun 1941 hingga 1956)
1.2.4        Perkembangan Pendidikan
(tahun 1957 hingga 1970)
1.2.5        Perkembangan Pendidikan
(tahun 1970 hingga 1990)


8
8
9

9

10

11
6

1.3  Laporan Razak 1956
1.3.1        Pengasas Laporan Razak
1.3.2        Tujuan dan Kandungan Laporan Razak


12
12-14
14-15
7
1.4  Isu-isu Semasa berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan
16-18
8
Kesimpulan

19
9
Rujukan
20







PENGENALAN / LATAR BELAKANG

Laporan Razak telah diperkenalkan pada April 1956 yang bertujuan mewujudkan sistem pelajaran yang sama bagi semua kaum. Laporan ini diketuai oleh Allahyarham Tunku Abdul Razak.
Laporan Razak 1956 boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan. Ia menyatakan:

“ Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”
(Penyata Razak, perenggan 12, 1956)

Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Maka, Akta Pelajaran 1961 telah dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.




1.1  Sejarah Sistem Pendidikan Negara

Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa berikut:
  • Zaman Pramerdeka (sebelum 1957);
  • Zaman Pasca Merdeka (1957-1970);
  • Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
  • Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
  • Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang).


1.1.1        Zaman pramerdeka (sebelum 1957)

Semasa pentadbiran British, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran, iaitu sekolah Inggeris, sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Pecahan jenis-jenis sekolah ini dinamakan sekolah vernakular. Antara ciri-ciri sekolah vernakular adalah:
  1. Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di sekolah.
  2. Terdapat tiga jenis sekolah vernakular, iaitu Melayu, Cina dan Tamil.
  3. Sekolah vernakular Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
  4. Sekolah Melayu Gelugor, Pulau Pinang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
  5. Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi, iaitu:
    1. Pagi
a.       Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam
b.      dan mata pelajaran vokasional   
                        ii.     Petang
a.     Bahasa Arab dan
b.     al-Qur'an
  1. Kekurangan guru merupakan faktor tiada sekolah menengah Melayu pada waktu itu. Ini telah mendorong sehingga tertubuhnya dua buah maktab perguruan, iaitu
    1. MPSI Tanjung Malim pada tahun 1922 dan
    2. MPPM di Melaka pada tahun 1935.
  2. Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Pendakwah London. Terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang perseorangan.
  3. Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina/Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar, manakala guru-guru dan buku teks diimpot dari Negara China.
  4. Contoh sekolah vernalular Cina ialah
    1. SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak dan
    2. SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.
  5. Kelas Bahasa Cina diadakan di semua `Free School', iaitu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, namun ia gagal dan telah dihentikan.
  6. Sekolah vernakular Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Guru, kurikulum dan buku teks diimpot dari India. Contohnya, SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak.
  7. Pada tahun 1925, Kod Buruh berkuatkuasa, di mana semua estet vang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur persekolahan diwajibkan menyediakan sekolah yang bertujuan rnembasmi buta huruf.
  8. Sekolah Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
  9. Pendidikan Bahasa Inggeris mula diperkenalkan dalam kalangan anak bangsawan Melayu pada tahun 1905. Penang Free School (1816) merupakan sekolah Inggeris pertama yang ditubuhkan. Guru-guru yang mengajar di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang mendapat pendidikan di Eropah.
 Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza antara satu sama lain. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan hasilnya terlahirlah laporan-laporan berikut:
1.      Laporan Barnes (1951) – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;
  1. Laporan Fenn-Wu (1951) – menyemak pendidikan kaum Cina;
  2. Ordinan Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan; dan
  3. Laporan Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.


1.1.2        Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)

Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.

Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.


1.1.3        Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Pada masa ini juga, Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982,  manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri dalam kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.
Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara turut ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.


1.1.4        Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)

Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lain-lain.
Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuklah:
  1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
  2. Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
  3. Menaiktaraf kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
  4. Menaiktaraf Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
  5. Menaiktaraf Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.


1.1.5        Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang)

Pada zaman ini, Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya, Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002), Program Bimbingan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Selain itu, bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003, Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003) dan banyak lagi program pendidikan diperluas.
Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.











1.2  Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Sistem pendidikan penjajah yang telah diperkenalkan oleh British telah digantikan dengan sistem pendidikan kebangsaan. Sistem yang terdahulu tidak mengambil kira pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan Kebangsaan 1957. Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) telah menjadi asas pembentukan sistem dan Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pelajaran Kebangsaan 1961. Kemudian sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tujuan untuk memperbaiki perlaksanaannya supaya matlamat melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisipilin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai.


1.2.1        Sejarah awal Pendidikan di Tanah Melayu

Corak pendidikan yang ada pada waktu ini berbentuk bukan formal. Ia wujud dan berkembang bersama-sama perkembangan agama Islam di negari-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu pada abad ke-14. Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara. Pada waktu tersebut wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan ‘sekolah pondok’. Sekolah pondok ini dibangunkan dan dimajukan bersama secara gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat. Terengganu, Kelantan dan Kedah mempunyai paling banyak sekolah pondok pada abad ke-18 dan ke-19. Muncul ramai tokoh agama ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan menyebarkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Sekolah pondok juga merebak di Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Singapura. Sehingga sebelum abad ke-20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikan berbentuk formal.

1.2.2        Pendidikan Sewaktu Penjajahan Inggeris (tahun 1800 hingga 1956)

Sistem pendidikan pada waktu tersebut merupakan warisan budaya pendidikan zaman pemerintahan Inggeris. Pada zaman ini terbentuk lima jenis persekolahan iaitu Sekolah Vernukular Melayu, SekolahVernukular Cina , Sekolah Vernukular India, Sekolah Vernukular Inggeris dan Sekolah Agama ( Madrasah ). Ciri-ciri sebegini rupa terbentuk kerana mengambil kira faktor politik, ekonomi, sosio-budaya dan agama.


1.2.3        Pendidikan Sebelum Merdeka (tahun 1941 hingga 1956)

Pada waktu pemerintahan Jepun (tahun 1941 hingga 1956),  Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Sekolah Nippon-Go telah ditubuhkan pada waktu tersebut  untuk menggantikan Sekolah Vernukular Cina dan Inggeris. Pengajarannya lebih tertumpu kepada  lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946 , Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan pada waktu tersebut amat bercelaru. Orang Melayu telah mula menunjukkan semangat nasionalismenya, manakala masyarakat Cina dan India masih mahu kekal bermastautin di Malaya.

Keadaan yang berlaku telah menyebabkan timbul kesedaran dalam kalangan orang Melayu untuk memajukan pendidikan. Melalui sistem pendidikan yang tersusun, kegiatan ekonomi dan sosial orang Melayu dapat ditingkatkan. Atas desakan dan kesedaran orang Melayu untuk memperluaskan peluang pendidikan untuk kanak-kanak Melayu, kaum Melayu mula mendesak pihak kerajaan Inggeris memperbaiki keadaan pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Maka, pada tahun 1950, satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J. Barnes telah ditugaskan untuk menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan orang Melayu. Hasilnya, pada tahun 1951, terbentuklah Jawatankuasa L.J. Barnes yang menfokuskan  kepada pendidikan orang Melayu. Jawatankuasa ini juga telah bertindak merombak semula sistem pendidikan supaya lebih teratur.
1.2.4        Perkembangan Pendidikan (tahun 1957 hingga 1970)

Untuk gambaran yang lebih jelas, kita perlu melihat kronologi peristiwa perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan pada waktu itu.

Tarikh/tahun
Peristiwa
31 Ogos 1957
Malaya merdeka
1960
Laporan Rahman Talib
1962
Pendidikan rendah percuma
1964
Peperiksaan masuk sekolah menengah dimansuhkan
1965
Pendidikan menengah komprehensif atau pendidikan aneka jurusan diperkenalkan
1967
Peperiksaan darjah lima diperkenalkan
1967
Laporan Khir Johari dikemukakan dan Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan
1968
Jawatankuasa perancangan pelajaran tinggi dibentuk membawa tertubuhnya Majlis Pelajaran Tinggi (ITM,TAR,UKM)
13 Mei 1969
Ekonomi Baru dan Rukun Negara dijadikan sebagai panduan, perumusan dari pendidikan dan matlamatnya ekoran peristiwa 1 Mei
1971
Laporan Majid 1971 dikemukakan
1973
Laporan Murad 1973 – kandungan: keciciran pelajar
1979
Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran atau Laporan Kabinet 1979
1989
Laporan Kabinet mencadangkan KBSR dilaksanakan pada 1983 dan KBSM pada 1989




1.2.5        Perkembangan Pendidikan (tahun 1970 hingga 1990)

Tahun-tahun di antara 1970 hingga 1990 merupakan era penyusunan semula sistem pendidikan di Malaysia. Pihak kerajaan telah melaksanakan usaha dan tumpuan yang bagi mereformasi sistem pendidikan secara menyeluruh. Hal ini bertujuan bagi mencapai matlamat membina sebuah masyarakat yang bersatu padu yang mempunyai identiti sendiri.

Oleh itu dasar-dasar pendidikan yang dibuat mendokong semangat kebangsaan. Penyusunan organisasi pendidikan yang selaras meliputi peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diubahsuai supaya mengikut dasar kerajaan. Struktur kurikulum untuk sekolah, pendidikan guru dan pendidikan tinggi juga diubahsuai supaya wujud kesinambuangan dan kerelevanan pada peringkat-peringkat pendidikan tertentu. Seterusnya ia dapat memperbaiki keadaan demokrasi dan ekuti dalam pendidikan agar wujud kesamarataan penyertaan untuk etnik dan geografi.














1.3  Laporan Razak 1956

Laporan Razak merupakan salah satu dari beberapa laporan  pendidikan yang ditubuhkan semasa Era Ketiga iaitu era selepas kemerdekaan. Laporan-laporan pendidikan telah dirangka untuk menggubal suatu sistem pendidikan bersepadu dan menjadi asas kepada sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini.


1.3.1        Pengasas Laporan Razak

Laporan Razak telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran pada ketika itu iaitu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein. Beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh beiau sendiri. Hasil kajian jawatankuasa ini terkandung dalam Laporan Razak yang dikemukakan pada bulan April 1956. Berikut merupakan latar belakang beliau:

  Perdana Menteri Malaysia Kedua (1970 - 1976)
Pengasas Laporan Razak 1956

Allayarham dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, Pahang Darul Makmur. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib, penghulu di Pahang yang bergelar 'Orang Kaya Indera Syahbandar' dan Datin Hajah Teh Fatimah Binti Daud. Pendidikan awal yang diterima oleh beliau ialah di Sekolah Melayu Kampung Jambu pada tahun 1928. Beliau juga terpaksa berulang alik ke sekolah yang jaraknya lebih kurang empat batu dari rumahnya.
Arakian, beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam kelas. Setelah menamatkan pelajaran di peringkat rendah, beliau telah melanjutkan pelajaran di Malay College Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK pada tahun 1934. Berkat usaha yang gigih, beliau akhirnya menyambung pelajaran di Raffles College Singapore (RCS) pada tahun 1940. Pembelajarannya bagaimanapun terbantut kerana penaklukan tentera Jepun pada tahun 1942. Beliau kemudiannya menyertai gerakan bawah tanah jajahan dengan membantu Force 136, sebuah unit elit tentera bersekutu yang dipayung terjunkan ke Malaya untuk mensabotaj tentera Jepun. Beliau berpangkat kapten ketika Jepun menyerah kalah. Kerana jasa-jasanya, Tun Razak telah dihadiahkan biasiswa oleh Kerajaan Kolonial untuk menuntut di England pada tahun 1974. Di sana beliau berkenalan dengan Tunku Abdul Rahman dan mereka menjadi rakan karib.
Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Ogos 1955. Sumbangannya yang terpenting sebagai Menteri Pelajaran ialah mewujudkan satu panduan falsafah pendidikan yang dikenali sebagai 'Penyata Razak 1956'. Intipatinya ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu-padu.
Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 di London kerana penyakit Leukimia dan digantikan oleh Tun Hussein Onn. Beliau adalah seorang yang berjiwa besar dan seorang negarawan yang ulung dan setia. Rakyat Malaysia haruslah berbangga kerana negara melahirkan seorang pemimpin sepertinya yang berjaya mengisi kemerdekaan dengan pembangunan sejati serta meninggalkan hadiah yang sangat berharga kepada kita iaitu sistem pendidikan yang kita rasai hari ini. Allayarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.


1.3.2        Tujuan dan Kandungan Laporan Razak

  1. Tujuan Penyata Razak adalah:
    1. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.
    2. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu.
    3. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.
    4. Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih dan progresif.
    5. Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.
    6. Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih  dan progresif.
    7. Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

  1. Berikut merupakan kandungan Laporan Razak:
A. Sekolah rendah
a.         Sekolah rendah dibahagikan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
b.         Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan matapelajaran wajib.
c.         Murid keturunan Cina dan Tamil di sekolah aliran Inggeris
diberi peluang mempelajari bahasa ibundanya jika ada 15 orang atau lebih murid ingin belajar.
d.         Guru-guru mestilah mempunyai Sijil Sekolah Menengah Rendah dan mendapat latihan sepenuh masa setahun dan separuh masa 2 tahun.

B. Sekolah menengah
a. Sekolah menengah dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu sekolah menengah rendah (3 tahun), sekolah menengah atas (2 tahun) dan pra-U (2 tahun).
b. Satu jenis sekolah menengah sahaja yang menjadikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib.
c. Terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan yang sama.
d. Bagi memasuki sekolah menengah, mesti lulus peperiksaan memasuki sekolah menengah.

C. Sistem peperiksaan
a.
Sekolah menengah rendah
Peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 (peperiksaan bersama) dan mesti lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE) bagi memasuki sekolah menengah atas.
b. Sekolah menengah atas
Peperiksaan bersama di Tingkatan 5 untuk memperolehi Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate.
c. Pra-U
Peperiksaan di Pra-U tahun kedua untuk memperolehi
Sijil Tinggi Pelajaran (STP/HSC) untuk memasuki universiti.

Laporan Razak telah diluluskan pada April 1957 dan dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak ditentang oleh orang Melayu kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan Bahasa Kebangsaan. Orang Cina menentang kerana sesetengah cadangan dikatakan mengabaikan pendidikan Bahasa Cina.

1.4  Isu-isu Semasa berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan

Setelah lebih 50 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan dalam sistem pendidikan kita kecuali menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819. Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KBSM pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan British.

Antara yang ketara, kita masih mengekalkan sistem pendidikan berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal. Pengenalan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini. Terdapat lima isu utama berkaitan pendidikan yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran di negara kita.Pertama, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang semakin tidak sesuai di sekolah. Contohnya mengapa dalam suasana pelajar telah dapat mengakses maklumat menggunakan kecanggihan internet, dalam masa yang sama mereka masih disogokkan dengan kandungan kurikulum sejarah zaman prasejarah dan perlu mempelajari dengan begitu mendalam. Sedangkan sejarah pada tahun 1970an dan 1980an begitu sedikit disentuh. Mata pelajaran sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan pembelajaran pelbagai budaya sesuai dengan kehidupan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.

Kedua, kita masih lagi menghadapi krisis berkaitan dengan pembangunan pendidikan bahasa. Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah namun hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak. Bagaimanapun, jelas sekali bahawa para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik dan Sains bukanlah suatu keputusan yang bijak.
Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara dalam kalangan pelajar Melayu dan bukan Melayu. Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di dalam kelas dan bukan menambahkan lagi beban murid dan guru dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Jika dilihat dari sudut sejarah, contohnya negara-negara barat seperti Amerika dan Eropah, mereka sanggup menterjemahkan buku-buku dari Bahasa Arab yang berkaitan Sains dan Matematik ke Bahasa Inggeris sehingga kita sendiri lupa bahawa asalnya ilmu Sains dan Matematik itu adalah dari para ilmuan Islam yang agung. Perkara yang sebaliknya pula berlaku di negara kita, begitu bersusah payah menterjemahkan dan mencetak buku-buku Matematik dan Sains menggunakan Bahasa Inggeris dengan alasan Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa.

Rasanya kita seperti sudah melupakan, bahawa suatu ketika dahulu Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan dalam perdagangan. Ataupun kita terlalu malu untuk mengakui hakikat bahawa penggunaan Bahasa Melayu sudah semakin merosot dalam kalangan para pelajar Melayu dan bukan Melayu.

Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komunikasi, jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya. Kalangan remaja Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur Bahasa Melayu kerana cara hidup yang lebih mengutamakan Bahasa Inggeris. Manakala dalam kalangan remaja bukan Melayu hanya menggunakan bahasa itu semasa proses pembelajaran di bilik darjah. Mereka lebih cenderung untuk menggunakan bahasa ibunda atau Bahasa Inggeris dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar menggunakan Bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran menggunakan Bahasa Melayu standard dalam pengucapan mereka.


Isu yang terakhir adalah penekanan keterlaluan terhadap bidang sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan seharusnya turut diberikan kepada pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidak mempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi juga menipiskan jati diri serta identiti bangsa.

Akhir sekali, kita memerlukan revolusi pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak kita apabila mereka dewasa nanti. Walaupun era kolonialisme telah berlalu namun ia berjaya memecahkan kehidupan orang Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain. Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru agama.

Masa yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu dalam waktu persekolahan adalah terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran. Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain-lain hal yang berkaitan dengan pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan dalam masyarakat menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang memerlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk kebaikan anak cucu pada masa depan.


KESIMPULAN

Dalam suasana masyarakat majmuk yang masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan fahaman tentunya perkara yang berkaitan dengan perpaduan nasional perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan proses pemasyarakatan ini, pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting.

Hasrat, perancangan dan strategi reformasi pendidikan yang terjelma melalui Laporan Razak 1956 dulu telah menampakkan kejayaan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat wajar bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.

Menyedari betapa pentingnya tujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi negara, selaras dengan usaha untuk melahirkan generasi yang bersatu padu, dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, membina kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran Negara, semua pihak harus meletakkan kepentingan nasional dan negara pada kedudukan paling utama daripada kepentingan masing-masing.

Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada usaha-usaha murni dan program-program yang sistematik. Kesemua ini adalah bertujuan memupuk dan mengukuhkan hubungan antara kaum yang terdapat di Malaysia tanpa melupakan matlamat dan aspirasi negara dalam menuju Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju mengikut acuan sendiri.






RUJUKAN

1.      Ibrahim Saad, 1992, Perubahan Pendidikan di Malaysia, Satu Cabaran, Kuala Lumpur : DBP.
2.      Laporan Jawatankuasa Kabinet ,1984, Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
3.      Fadzilah bt Abdullah, 1996, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Kuala Lumpur : As Noordeen.
4.      Tengku Anuar, 1990,  Pengetahuan Kenegaraan Malaysia, Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.
5.      Sufean Hussin , 1993, Pendidikan di Malaysia , Sejarah, Sistem dan Falsafah, Kuala Lumpur : DBP.
6.      Sufean Hussin, 2002, Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia, Teori dan Analisis Kuala Lumpur : DBP.
7.      Sheela Abraham, 1993, Sejarah Perkembangan Negara, Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd..
8.      Tajul Ariffin Bin Nordin, 1993, Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP.
9.      Abdullah Sani Yahaya, 2003, Perkembangan Pendidikan di Malaysia, Bentong, Pahang : PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd..
10.  Kejayaan Laporan Razak, http://www.scribd.com/doc/21053288
















 

No comments:

Post a Comment